Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: “Kami telah beriman.” Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak pada hati hati manusia.
Kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan cubaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannnya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka ia perlu dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman. Tentulah Allah akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadap-Nya. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).
Allah menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan cubaaan. Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7-8) Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah mendatangkan pelbagai ujian ke atas hamba-Nya untuk menilai siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah.
Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak berupa kesusasahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan cubaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan oleh-Nya bermaksud: “Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbia, ayat 35).