Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W dan ke atas keluarga serta sahabat2 sekelian dengan bilangan sejumlah makhluk-NYA, kebaikan Arasy-NYA dan tinta kalimat-NYA.
Ya-Allah aku menghadiahkan semua perkongsian keilmuan ini kepada Almarhumah isteriku sayang Zauaurah Binti Apipah.

Kepada tuan/puan yang menjengok blog saya ini, dan nak mengamalkan apa yang telah saya kongsikan, mohon jasabaik hadiahkan Al-Fatihah kepada Almarhumah isteri saya.
JazakAllahu khairan katsira

Saturday, March 13, 2010

BUAH-BUAHAN DAN NILAI UBATAN

BUAH-BUAHAN DAN NILAI UBATAN Sumber : WAN HAFIZAH WAN HASSAN

PENGENALAN
Ramai orang menganggap buah adalah sesuatu yang membesar selepas bunga layu dan mempunyai biji. Bahagian yang mengelilingi biji ialah buah. Manakala dalam aspek botani pula, buah adalah hasil daripada tumbesaran akhiran bunga angiosperma atau jambak bunga. Definisi atau takrifan ahli botani ini merangkumi buah-buahan berisi yang wujud dari bahagian ovari bunga seperti reseptaker atau daripada penyangga (buah epal, strawberi ), brektia atau daun pelindung dan daun pedunkel (nenas). Walaupun begitu majoriti masyarakat dewasa ini mengenali buah hanya sebagai pembasuh mulut selepas menikmati pelbagai jenis hidangan yang enak.

BUAH-BUAHAN DAN KHASIATNYA
Disebalik rasanya yang enak, buah-buahan sebenarnya mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan. Ia diperkaya dengan zat galian yang mempunyai nilai perubatan dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Namun tidak ramai yang menyedari hal ini melainkan masyarakat luar bandar terutamanya golangan tua. Ini kerana masyarakat desa kurang terdedah dengan perubatan moden dan masih lagi kuat mempercayai perubatan tradisional yang diamalkan sejak turun temurun.

Delima Hilangkan Masalah Cacing
Delima, sejenis buah berasal dari kawasan Mediterranean, banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Kulit buah delima mengandungi asid tannin yang amat berkesan untuk menghapuskan masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit. Selain daripada asid tannin, delima yang dikenali sebagai Punica granatum dari segi saintifik, juga mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan vitamin C. Ia berkesan untuk meredakan cirit-birit yang kronik, termasuk cirit-birit berdarah dan enteritis atau bengkak usus. Di beberapa kawasan di Iran dan di Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah penafasan berbau. Buasir merupakan satu lagi penyakit yang boleh dirawati menggunakan buah delima kerana airnya dapat bertindak sebagai astringen. Ia juga dipercayai berkesan untuk mengatasi kemandulan

Kurma Hindar Gangguan Usus
Kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Kurma yang dikenali sebagai Phoenix dactylifera L. dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus, di mana ketidakserasian dengan gluten, sejenis protein yang terkandung di dalam bijirin menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Ia mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dihasilkan oleh gluten dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Bagi mengubati penyakit ini bijinya dibuang kemudian dibersihkan sebelum diadun halus dengan setengah gelas air dan lebih mujarab jika dicampur dengan jus lobak merah. Jus kurma juga berkesan untuk mengatasi masalah batuk. Kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong dan sekali gus menghilangkan batuk. Kurma juga boleh digunakan bagi menggantikan gula atau madu untuk tujuan menghilangkan kesan mabuk dan bertindak sebagai penawar racun